Wednesday 29 January 2014

Pendahuluan

Pengakap Kanak-kanak adalah bahagian pertama yang dialami seorang budak apabila ia memasuki pergerakan pengakap.  Bahagian ini hanya satu bahagian sahaja dalam Persaudaraan Pengakap yang mengandungi beberapa bahagian lain iaitu pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.

Untuk menjadi pengakap kanak-kanak, budak itu hendaklah telah berumur 8 tahun dan belum sampai 13 tahun.  Ia tidak boleh terus kekal menjadi Pengakap Kanak-kanak apabila umurnya sampai 13 tahun dan bersekolah di sekolah menengah rendah.

Bahagian ini dijalankan di bawah seorang Pemimpin Pengakap Kanak-kanak dengan dibantu oleh seorang atau beberapa orang Penolong Pemimpin Pengakap Kanak-kanak atau perempuan dewasa.  Bahagian ini dibahagikan menjadi beberapa unit kecil, tiap-tiap satu terdiri dari Sekawan 6 hingga 8 orang dengan seorang daripadanya menjadi Ketua Sekawan.

Atas dasar inilah wujud Sistem Sekawan di dalam Unit Pengakap Kanak-kanak.  Sistem ini adalah asas kepada peringkat lebih atas iaitu Pengakap Muda dan Pengakap Remaja.  Sistem sekawan ini juga berdasarkan Sistem Patrol yang diamalkan di dalam Unit Pengakap Muda dan Unit Pengakap Remaja.

Setiap Sekawan dikenali dengan nama warna seperti Sekawan Biru, Sekawan Merah, Sekawan Hijau, Sekawan Kuning, Sekawan Kelabu dan Sekawan Perang.  Sistem Sekawan menekankan kepada pemimpinan kanak-kanak berdasarkan kepada idea perkongsian kepimpinan.  Kebanyakan kanak-kanak inginkan peluang untuk menjadi pemimpin dan adalah penting untuk Pemimpin Kanak-kanak menyediakan peluang sedemikian.  Pengakap kanak-kanak yang bertanggungjawab diatas sekawan dipanggil Ketua Sekawan.

Ketua Sekawan akan dilantik oleh Pemimpin Pengakap Kanak-kanak berdasarkan kualiti kepimpinannya dan di bantu oleh seorang Penolong Ketua Sekawan.

No comments:

Post a Comment